artikel pertama

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam setiap negeri digesa supaya menyeragamkan undang-undang berkaitan wakaf bagi membolehkan tanah wakaf terbiar dibangunkan untuk membiayai kegiatan agama dan menjana ekonomi.
Wakil Pemuda Umno Abdul Shukur Idrus berkata kini terdapat puluhan ribu ekar tanah wakaf terbiar kerana wujud fahaman bahawa bagi mendapatkan lebih pahala, tanah wakaf perlu dibangunkan untuk masjid, surau, sekolah agama dan tanah perkuburan sahaja. Majlis Agama Islam sepatutnya diberikan kuasa untuk menukarkannya kepada kegunaan wakaf am bagi dibangunkan dengan projek yang sesuai seperti pusat perniagaan dan perladangan yang dapat menjana ekonomi. Ganjaran pahala akan tetap diterima oleh wakif selagi tanah wakaf itu dimanfaatkan, katanya ketika membahaskan usul agama dan sosial di Perhimpunan Agung Umno 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Beliau memberikan contoh Singapura yang memiliki 200 tapak tanah wakaf dengan nilai pasaran S$250 juta dolar dan berjaya mendapat hasil sewa S$7 juta setahun.
Abdul Shukur yang juga Ketua Pemuda Umno Selangor berkata Selangor boleh dijadikan model, yang mana beberapa masjidnya menyediakan prasarana pembelajaran dengan usahasama institut pengajian tinggi awam bagi pengajian ijazah dan diploma.
Pemuda Umno juga menggesa pengurusan masjid turut ditadbir golongan profesional dan berkemampuan dan tidak hanya ditadbir oleh golongan sudah berusia, katanya. "Tindakan kebanyakan masjid yang mengunci pintu selepas solat berjemaah dengan alasan bil elektrik akan naik serta tidak membenarkan kanak-kanak memasuki masjid amat dikesali kerana ia tidak mengutamakan agenda meramaikan jemaah," katanya. Wakil Wanita Umno Kelantan Datuk Zaleha Hussin pula mahu pengajaran Fardu Ain dan Fardu Kifayah diperkemaskan lagi bagi memastikan negara dapat melahirkan cendekiawan Islam yang mampu mentafsir kitab-kitab ilmu Islam lama yang pastinya mengandungi maklumat berharga dalam bidang sains dan teknologi. "Kita mahu lihat lebih ramai orang Islam negara ini mampu menjadi seperti tokoh ilmuan Al Khawarizmi, Al Radzi dan Ibnu Sina kerana ilmu itu adalah asas kepada agama Islam," katanya. Zaleha juga mencadangkan guru Kursus Asas Fardu Ain (Kafa) yang dilantik secara kontrak diserapkan secara tetap untuk memastikan kebajikan mereka terjamin. Wakil Umno Pulau Pinang Datuk Pirdaus Ismail berkata program J-Qaf (Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain) akan dapat memberikan ruang pekerjaan kepada graduan bidang agama kerana sejak J-Qaf dilaksanakan, sebanyak 10,000 guru telah diambil untuk memenuhi keperluan program itu. Katanya menjelang 2010, sebanyak 200,000 murid sekolah akan mendapat manfaat daripada program itu.
Sementara itu, Pirdaus turut membidas kerajaan Pas yang masih berdolak-dalik berhubung usaha kerajaan pusat yang mahu mengemaskinikan pentadbiran semua sekolah agama rakyat. "Adalah zalim jika kita membiarkan anak-anak kita ini tidak mendapat pelajaran yang sewajarnya dan juga pendidiknya yang perlu diberi pembelaan dengan jawatan tetap dan menikmati kemudahan lain. "Oleh itu kita menyeru Menteri Besar Kelantan (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) supaya menyerahkan semua sekolah agama rakyat (untuk ditadbir) kepada kerajaan," katanya. Wakil Puteri Umno Kama Noriah Ibrahim pula mencadangkan program J-Qaf diperluaskan ke kelas-kelas prasekolah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan sekolah menengah.
Ketua Puteri Umno Bahagian Padang Terap itu berkata pergerakan itu juga mencadangkan supaya Jabatan Mufti Negara bertindak sebagai pusat rujukan dan membuat keputusan soal-soal keagamaan. "Para mufti di seluruh negara perlu sepakat dan bertindak proaktif dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan ummah," katanya.

Comments